Ahad, 22 Jun 2014

Perbezaan Antara Bentuk Kerajaan Diktator, Oligarki dan Totalitarian

Politik memainkan peranan yang penting dalam memastikan perkembangan atau kemunduran sesebuah negara kerana ia akan menentukan pihak manakah yang akan menerajui tampuk kepimpinan dalam negara. Menurut Harold J.Laski dalam bukunya An Introduction to Politics menekankan bahawa kerajaan merupakan suatu institusi yang wujud dalam sesebuah negara yang mengamalkan pemerintahan yang sah. Secara umumnya, kerajaan adalah pihak yang memerintah sesebuah negara. Kerajaan ditubuhkan atas dasar keinginan manusia yang menginginkan kesejahteraan iaitu merupakan suatu alat jentera untuk merumus, melaksana dan menyatakan cita-cita negara. Kerajaan mempunyai tiga fungsi yang utama iaitu sebagai institusi perundangan, institusi eksekutif dan institusi kehakiman. Sesebuah institusi kerajaan pula dapat dikelaskan kepada dua bentuk seperti yang dikelaskan oleh Aristotle (384-322 S.M) iaitu bentuk pemerintahan yang mengutamakan kebajikan rakyat dan sebaliknya. Beliau mengelaskan bentuk kerajaan yang baik terdiri daripada monarki, aristokrasi dan demokrasi, manakala bentuk kerajaan yang menyeleweng pula terdiri daripada tirani, oligarki dan politi. Dalam konteks pengelasan moden pula, muncul istilah seperti ‘Diktaktor dan Totalitarian’ dari sudut kerajaan yang menyeleweng. Kedua-dua bentuk pemerintahan moden ini dan pemerintahan oligarki termasuk dalam sistem pemerintahan bersifat autokrasi.

Autokrasi sudah lama menjadi sebahagian daripada politik. Ia wujud hasil kelemahan sistem pemerintahan yang terdahulu, namun konsep autokrasi ini kurang jelas kerana tidak dapat dipastikan sama ada ianya untuk kepentingan rakyat ataupun kepentingan golongan pemerintah. Autokrasi ini sering dikaitkan dengan sistem pemerintahan bercorak mutlak dan menyeluruh. Bentuk pemerintahan ini bertujuan untuk membangunkan semuala masyarakat mundur dengan cara mengehadkan dan mengawal kebebasan rakyat di samping memperkenalkan pelbagai peraturan supaya rakyat patuh terhadap arahan dan perintah yang dikeluarkan. Namun, negara autokrasi dipercayai menggalakkan pembentukan dasar-dasar untuk membangunkan negara dan menjadikan pentadbiran negara lebih cekap. Lazimnya negara-negara komunis cenderung mengamalkan bentuk pemerintahan sedemikian dengan mewujudkan satu pasukan khas yang bertujuan untuk membantu golongan pemerintah mengawal rakyat. Misalnya di Rusia, semasa pemerintahan Stalin (1929-1953), satu unit khas telah ditubuhkan bertujuan untuk mempengaruhi rakyat melalui propaganda, asuhan dan menggunakan paksaan agar rakyat tunduk kepada kehendaknya. Kewujudan pemerintahan bercorak autokrasi secara umumnya merujuk kepada kekuasaan pemerintahan yang terletak pada suatu pertubuhan atau individu yang mempunyai kuasa penuh ke atas aspek perundangan, keputusan dan pelaksanaan semua dasar.
 
Bentuk kerajaan diktaktor merupakan salah satu corak pemerintahan autokrasi. Diktaktor merujuk kepada suatu kuasa pemerintahan yang dikuasai atau dimonopoli oleh seorang atau suatu puak politik yang bersatu kerana mempunyai minat yang sama (K.Ramanathan 2003). Kuasa tersebut lazimnya diperolehi sama ada melalui kekerasan atau dengan cara memanipulasi syarat perlembagaan agar pemerintahan diktaktor dihalalkan. Zaman pemerintahan diktaktor juga sering dikaitkan dengan kezaliman, penindasan, penganiyaan, kepentingan keluarga, autotarian dan totalitarian.

 Ciri-ciri pemerintahan bentuk ini juga menggambarkan tentang ketidakbebasan dan pelbagai bentuk paksaan serta penindasan yang berlaku. Misalnya, kuasa dipegang oleh orang tertentu sahaja dan mengikut kehendaknya iaitu tiada sifat pembahagian kuasa. Malah tiada istilah pertandingan merebut kuasa bagi ahli-ahli politik, kumpulan sosial dan institusi lain. Selain itu, individu yang memerintah ini juga boleh memansuh atau melonggarkan hukuman dan undang-undang ke atas kuasa politik yakni perlembagaan diketepikan untuk merealisasikan kepentingannya dengan menggubal undang-undang yang baharu. Kebebasan awam juga disekat dan wujudnya pengaruh kuat yang didorong oleh perasaan membuat keputusan. Hal ini berkaitrapat dengan pemerintahan yang diuruskan mengikut kehendak individu tanpa memikirkan rakyat. Di samping itu, individu yang menguasai tampuk pemerintahan juga cenderung untuk melaksanakan suatu dasar tanpa mengikut undang-undang bagi mengawal politik dan sosial. Ciri ini mewajibkan rakyat untuk taat sepenuhnya kepada pemerintahan tanpa mempersoalkan segala bentuk dasar mahupun peraturan yang dilaksanakan. Malah tindakan yang dilakukan oleh individu penguasa ini tidak boleh dipertanggungjawabkan ke atas dirinya sendiri malah lazimnya tempoh perkhidmatannya juga adalah seumur hidup. 

Terdapat negara yang mengamalkan bentuk kerajaan diktaktor ini lazimnya wujud hasil daripada kelemahan sistem pemerintahan monarki mutlak. Misalnya di Perancis, corak pemerintahan raja berkuasa mutlak telah digantikan dengan pemerintahan republik oleh Napoleon Bonaparte. Pada awalnya, pemerintahan republik dikuasai oleh sekumpulan pemimpin revolusi dan mereka tidak teragak-agak menggunakan autokrasi untuk menyingkirkan sesiapa sahaja yang disyaki mengancam republik. Namun apabila berlaku kekacauan, Napoleon Bonaparte yang merupakan seorang ketua tentera melihat huru-hara tersebut sebagai satu peluang untuk menguasai pemerintahan. Setelah mendapat kepercayaan daripada rakyat, maka beliau telah dilantik menjadi konsul yang pertama selama 10 tahun pada 1802. Namun semasa pemerintahannya, beliau telah menggantung proses pengundian rakyat dan mempengaruhi Dewan Perundangan untuk menjadikannya pemegang jawatan Konsul untuk seumur hidup. Maka bermulalah amalan sistem pemerintahan bercorak autokrasi diktaktor. Sejak itu, kemunculan diktaktor dikaitkan dengan pembelaan demokrasi dan mementingkan kepentingan rakyat dilihat sebagai salah satu cara untuk memulakan pemerinthan secara diktaktor mutlak.  Kesannya, corak pemerintahan sebegini telah dicontohi oleh rejim-rejim yang terkemudian untuk mendapatkan kuasa pemerintahan yang bersifat mutlak dan memusat. 

Seiring peredaran zaman, maka terdapat beberapa jenis diktaktor yang telah dikeanalpasti antaranya ialah Diktaktor Tradisional seperti yang telah diperkenalkan oleh Napoleon Bonaparte, Diktaktor Ala Amerika-Latin yang dikenali sebagai ‘Caudillos’ dan antara pemerintah yang mengamalkannya ialah Juan Gomes (1908-1936) di Venezuela, Diktaktor Totaler pula di amalkan oleh Adolf Hitler di Jerman. Selain itu, terdapat juga Diktaktor Tentera yang dipelopori oleh Jeneral Ne Win di Myanmar, Diktaktor Demokrasi Terpimpin oleh Kwame Nkrumah di Ghana dan Diktaktor Perlembagaan oleh Jeneral Suharto di Indonesia. Walaupun sistem pemerintahan ini mementingkan golongan pemerintah tetapi kesannya ia dapat  mewujudkan sebuah corak pemerintahan yang cekap dan stabil kerana pemerintahan tidak akan diganggu gugat oleh mana-mana pihak kerana ianya bergantung kepada sokongan golongan tentera. Selain itu, sistem ini juga dapat membangunkan ekonomi negara dan berupaya untuk menangani masalah sosial dan politik. Namun begitu, sistem ini dilihat mempunyai banyak kelemahan yang agak ketara terutama dari segi hak asasi dan kebebasan rakyat. Pelbagai sekatan dilakukan seperti pengharaman pertubuhan politik tertentu, sekatan terhadap akhbar kebebasan menahan individu tertentu atas nama keselamatan negara. Malah kebebasan rakyat dicabul apabila rakyat tidak boleh memilih pemimpin yang dapat menjaga kebajikan mereka kerana kebiasaannya pemimpin diktaktor ini akan menjadi gila kuasa dan enggan memulangkan kuasa. Kesannya individu tersebut akan berkuasa sampai bila-bila selama mana ia mempunyai kuasa mutlak ke atas negara. Individu tersebut akan berusaha mengekalkan kedudukannya walau terpaksa bertindak kejam ke atas rakyat. 

            Pemerintahan oligarki juga terletak dibawah sistem pemerintahan bercorak autokrasi yang mengutamakan dan dikuasai oleh golongan kapitalis atau golongan berharta yang digelar plutokrasi. Kemunculan bentuk pemerintahan ini hasil daripada pengumpulan harta golongan tertentu yang pada akhirnya berjaya menguasai ekonomi dalam sesebuah negara sehingga mereka mampu mempengaruhi sebarang keputusan dalam pemerintahan. Apabila ini berlaku golongan yang tidak berharta terus menjadi miskin dan menjadi orang bawahan kepada golongan plutokrasi ini. Menurut Plato, sesiapa sahaja yang berjaya mengumpulkan harta benda akan melayakkan diri mereka untuk menjawat jawatan tertinggi dalam pemerintahan. Alasan yang diberikan bagi penyataan tersebut adalah kerana  mereka tetap mempunyai ‘kepentingan dalam negara’ iaitu sesiapa yang mempunyai harta yang berlebihan mempunyai hak untuk memerintah. 

            Hal ini juga menjadi pokok perbahasan Karl Max tentang masalah kelas sosial dalam masyarakat. Beliau berpendapat bahawa kekayaan yang dimiliki oleh seseorang adalah berpunca daripada ketidakcekapan dalam pengagihan sumber-sumber pengeluaran. Pergelutan antara kelas ekonomi dan bawahan akan terus berlaku dalam cubaan untuk mendapatkan kuasa, dan mereka yang mempunyai kedudukan ekonomi yang stabil akan menindas mereka yang lemah. Namun begitu, golongan yang berkepentingan dalam ekonomi sememangnya mempunyai pengaruh tertentu dalam politik kerana kedudukan sesebuah negara sendiri bergantung kepada nilai ekonomi yang dimiliki. Lantaran itu, sesebuah negara telah menerima hakikat bahawa penyertaan seseorang dalam politik adalah berdasarkan kedudukan ekonomi. 

            Amalan bentuk kerajaan ini dapat dilihat di Itali iaitu di bawah Republik Venice dalam zaman pertengahan telah berkembang pesat dalam perdagangan antarabangsa. Kesannya muncul beberapa orang saudagar yang mempunyai kuasa dalam pucuk pemerintahan. Semakin lama semakin berkuasa golongan saudagar ini dan mereka telah mendirikan sistem pemerintahan bercorak plutokrasi. Ini berlaku apabila mereka berjaya menggunakan harta benda mereka demi kepentingan peribadi. Justeru, walaupun sistem oligarki ini mempunyai persamaan dengan totalitarian iaitu namun perbezaan yang dapat dikesan ialah golongan ekonomi ini menjadi golongan pemerintah sebagai boneka untuk melaksanakan kepentingan diri melalui institusi ekonomi. Situasi sebegini juga mirip seperti yang dinyatakan oleh Adam Smith dalam bukunya The Wealth Of Nation yakni tentang kewujudan ‘tangan-tangan ghaib’ atau ‘Invisible hand’. Tangan-tangan ghaib inilah yang telah menyebabkan institusi pemerintahan sebenarnya di perintah oleh golongan penguasa ekonomi yang bertindak menggerakkan politik. 

            Selain diktaktor dan oligarki, pemerintahan bentuk totalitarian juga tergolong dalam sistem pemerintahan bercorak autokrasi yang muncul sekitar awal abad ke-20 di Itali, Jerman dan Rusia. Bentuk kerajaan totalitarian autokrasi dikatakan dipelopori oleh Benito Mussolini yang memerintah Itali pada 1925, beliau mengambil contoh pemerintahan daripada empayar Rom zaman silam. Sejarah kewujudan sistem totalitarian ini adalah akibat penguasaan seorang individu yang berupaya mengawal keamanan dan mengambil alih tugas-tugas pemerintah. Justeru, setelah Parti Fasis Mussolini memenangi pilihan raya pada 1925, maka Benito Mussolini telah mengenakan pelbagai sekatan dan peraturan yang meliputi semua aspek kehidupan rakyat. 

            Sistem pemerintahan totalitarian ini secara asasnya melibatkan pengawasan dan pengaruh segala aspek pemikiran dan kehidupan rakyat. Untuk merealisasikan tujuan ini, maka kerajaan telah menentukan apa yang sah dan sebaliknya. Hanya satu parti politik sahaja yang boleh berkuasa dan bersuara dalam negara. Segala bentuk penentangan sama ada melalui media atau mana-mana individu yang ingin menyuarakan ketidakpuasan akan dihapuskan. Malah pihak kerajaanlah yang akan menentukan semua aspek kehidupan rakyat seperti ekonomi, sosial, politik, ketenteraan, kehakiman dan segala sumber adalah tertakluk kepada dasar rasmi yang telah dikeluarkan. Rakyat harus menerima dan mematuhi segala bentuk peraturan dan arahan yang dilaksanakan tanpa bantahan. Dengan erti kata lain, rakyat dilarang keras untuk mengkritik, mengeluarkan pendapat yang bertentangan dan juga membangkang kerajaan. 

            Dari segi ekonomi juga dikenakan kawalan yang ketat. Hal ini demikian kerana, kerajaan totalitarian mempunyai dua matlamat iaitu menjadikan kerajaan kuat dan berkuasa agar segala keperluan sama ada industri, pertanian atau ketenteraan dapat dikawal dan kawalan ekonomi dapat digunakan untuk urusan hal-hal politik. Ini bermakna, rakyat boleh dikerah untuk bekerja bagi meningkatkan produktiviti dalam sesuatu pengeluaran. Dari aspek pengundian pula, rakyat mungkin diberi peluang untuk mengundi tetapi ianya terbatas kerana proses pengundian dikawal dengan rapi dan keputusan yang dicapai tidak akan mempengaruhi pemerintahan kerana keputusan pilihan raya telah ditentukan oleh pihak atasan untuk meneruskan agenda kepentingan peribadi.  

Sebagai kesimpulan, walau apa jua bentuk kerajaan yang diamalkan, kepentingan dan kebajikan rakyat harus diutamakan kerana lambat-laun kerajaan yang menindas rakyat akan tumbang juga. Hal ini demikian, golongan perusuh akan muncul jua dicelah-celah rakyat yang merasai keperitan ditindas dan digunakan kekerasan ke atas mereka. Menurut Polybius (200-120 S.M), semua negara akan bermula dengan monarki kemudian disusuli dengan tirani seterusnya aristokrasi, oligarki dan kemudian demokrasi dan disusuli pemerintahan oleh kumpulan perusuh. Seterusnya, corak pemerintahan monarki akan diperkenalkan semula dan corak kitaran akan berlaku sekali lagi serta begitulah seterusnya. Namun begitu, harus diingat bahawa rakyat lebih menyukai pemerintahan yang bertanggungjawab dalam pemerintahan mereka dimana kebebasan dan hak asasi mereka tidak disekat dengan sewenang-wenangnya, namun masih tetap dibatasi oleh undang-undang yang dikuatkuasakan dalam negara. Hal ini demikian, dengan undang-undang sahajalah manusia dapat dikawal daripada bertindak di luar batasan.



RUJUKAN.
K. Ramanathan. 2003. Asas Sains Politik. Edisi Keempat. Fajar Bakti Sdn Bhd. Shah Alam, Selangor.

ANUGERAH DESA CEMERLANG




Pada tahun 2005, Program Keindahan Kampung (PKK) telah diubahsuai dan diletakkan dibawah Gerakan Daya Wawasan serta telah diberi nama baru iaitu Anugerah Desa Cemerlang (ADC).
Tujuan program ini ialah untuk mempertingkatkan kesedaran dan amalan menjaga kesihatan serta kebersihan persekitaran serta membentuk kampung-kampung yang bersatu-padu. 

OBJEKTIF 

1. Menilai prestasi dan pencapaian kampung ke arah maju,menarik dan menguntungkan serta mewujudkan masyarakatyang cemerlang bersesuaian dengan matlamat negara maju.
2. Memberi khidmat nasihat dan tunjuk ajar kepada kepimpinan kampung bagi melahirkan kampung yang mapan dan dinamik.
3. Memberi pengiktirafan dan galakan kepada kepimpinan kampung atas kejayaan yang dicapai dan seterusnya melonjakkan lagi kecemerlangan pada masa akan datang.

MEKANISME PELAKSANAAN

1.      Kelayakan kampung yang layak menyertai pertandingan ini alah kampung induk yang berJKKK/JKKKP dan kampung dibawah penempatan semula seperti FELDA.
2.      Kampung yang menjadi johan pada tahun 2007-2010 tidak dibenarkan menyertai pertandingan selama dua kali pertandingan. Boleh menyertai ADC selepas tempoh tersebut.
3.      Profil kampung telah dikemaskini dalam e-GDW.

PENUBUHAN JAWATANKUASA ADC

Terdapat tiga jawatankuasa ADC iaitu peringkat Kebangsaan, Negeri dan Daerah. Peringkat Kebangsaan dipengerusikan oleh Setiausaha Bahagian Pengupayaan Komuniti KKLW, dan Bahagian Pembangunan Desa, Kemas selaku urus setia. Manakala, peringkat Negeri diurustadbir oleh Jawatankuasa ADC Peringkat Negeri. Peringkat Daerah pula dipengerusi oleh Jawatankuasa ADC Peringkat Daerah.

GERAKAN DESA WAWASAN


Gerakan Desa Wawasan (GDW) telah dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Dr. Mahathir Mohamad di Kampung FELCRA Seberang Perak, Daerah Hilir Perak pada 4 Julai 1996. Gerakan Desa Wawasan atau Gerakan Daya Wawasan ini merupakan lanjutan dibawah dasar Transformasi Kedua Luar Bandar yang telah dilancarkan pada 1994 yang merupakan kesinambungan kepada Transformasi Pertama Luar Bandar iaitu dengan memberikan penekanan kepada sumber daya insaniah.

Matlamat Gerakan Desa Wawasan (GDW) ini adalah mewujudkan masyarakat desa yang berdaya tahan, berinisiatif, berdikari, berilmu dan memiliki dayasaing tinggi untuk melaksanakan pemodenan desa. Melalui GDW ini juga perancangan dibuat untuk mempertingkatkan keupayaan penduduk desa. Pelbagai program dilaksanakan dalam GDW ini antaranya ialah Program Bina Insan dan Kesedaran, Ilham Desa, Program Keluarga Angkat dan Program Pengindahan Persekitaran.  Lantaran itu, objektif GDW ialah:

i) Meningkatkan semangat berdikari dengan mengikis mentaliti subsidi.
ii) Meningkatkan penglibatan masyarakat dalam pembangunan desa.
iii) Memudahkan sikap untuk memudahkan proses pencantuman tanah.
iv) Meningkatkan keupayaan masyarakat untuk maju.
v) Membentuk “empowerment”.
vii) Meningkatkan kemahiran untuk pelaksanaan Pelan Induk Desa (PID).

Bagi mencapai objektif sebagai desa wawasan yang berjaya terdapat 12 kriteria yang perlu dibangunkan oleh sesebuah kampung yang berjaya iaitu Kebersihan dan keceriaan, Keagamaan dan kemahiran, Pendidikan dan kemahiran, Ekonomi berasaskan pertanian, Kepimpinan atau pentadbiran, Sosial, Keselamatan, Infrustruktur, Kesihatan, Pembangunan IT, Pembangunan manusia, Ekonomi bukan pertanian.

Institute for Rural Advancement (INFRA) diamanahkan oleh kerajaan untuk menjalankan latihan dan memastikan penduduk kampung mendapat latihan dan pendedahan tentang GDW. Masyarakat desa diberi latihan tentang cara untuk memajukan kampung dengan projek-projek sosioekonomi. Justeru program latihan yang dijalankan menyediakan cara, kaedah dan saranan-saranan untuk memajukan kampung dengan pelbagai aktiviti. Apa yang menariknya ialah GDW memberi peluang dan galakan kepada penduduk untuk membangunkan kampung mereka berdasarkan cetusan ilham sendiri.

STRATEGI PELAKSANAAN.

Memantapkan kaedah pelaksanaan melalui perlantikan Penggerak GDW (samada pegawai KEMAS/Agensi KKLW) bagi setiap kampung GDW bertujuan menyelaras pelaksanaan program dan membantu JKKK./JKKR mempertingkatkan pengupayaan mereka
Mewujudkan struktur pengurusan dan pemantauan melalui beberapa jawatankuasa iaitu:-
  1. Jawatankuasa Kabinet GDW
  2. Jawatankuasa Induk GDW
  3. Jawatankuasa Peringkat Negeri
  4. Jawatankuasa Peringkat Daerah
  5. Jawatankuasa Peringkat Mukim
  6. Jawatankuasa Peringkat Kampung
Selaras dengan itulah lahirnya Kampung yang berdaya maju dan telah memenangi Anugerah Desa Cemerlang Peringkat Kebangsaan.