Rabu, 20 Mei 2015

KAJIAN KES: EKO-PELANCONGAN DI SEMPORNA

Strategi Pemasaran Pelancongan
Perkembangan pelancongan yang berkesan di pengaruhi oleh strategi pemasaran yang dilakukan. Menurut Philip Kotler (2003), pemasaran ialah proses sosial yang dilakukan oleh individu atau sesebuah kumpulan untuk mendapatkan kehendak dan keperluan melalui penawaran, permintaan dan pertukaran barang dan perkhidmatan. Manakala Pertubuhan Pemasaran Amerika  Syarikat (AMA 2004) pula mendefinisikan pemasaran sebagai fungsi organisasi dan suatu proses ke arah penciptaan, komunikasi dan penyampaian kepada pengguna dari segi keperluan dan kehendak melalui proses pertukaran barangan yang mana ia dapat memberi manfaat kepada organisasi dan pihak (stakeholder) yang terlibat. Dalam konteks pemasaran pelancongan pula, Morrison (2004) mentakrifkan pemasaran seperti berikut :

“A continuous sequential process through which management in the hospitality  and tourism industry plans, researchers, implements, controls, and evaluates activities designed to satisfy both customer’s needs and wants and their own organisation’s objectives.”

                Menerusi definisi tersebut maka dapatlah disimpulkan bahawa aktiviti pemasaran dalam pelancongan melibatkan pengurusan yang sistematik iaitu dari perancangan, penyelidikan, pelaksanaan, kawalan dan penilaian aktiviti yang direka. Aktiviti pengurusan memerlukan keperluan dan kehendak pelancong dan pihak yang terlibat sama dipenuhi berdasarkan objektif masing-masing.

                 Proses pemasaran melibatkan beberapa elemen yang penting. Kombinasi elemen tersebut dikenali sebagai Campuran Pemasaran atau “Marketing Mix”. Perreault dan McCarthy mencadangkan beberapa elemen tersebut iaitu Model 4P yang terdiri daripada Harga (Price), Produk (Product), Tempat (Place) dan Promosi (Promotion). Strategi pemasaran ini sering digunakan dalam mana-mana organisasi kerana konsepnya yang mudah di fahami dan sangat berkesan. Namun, sebenarnya model ini lebih bersifat pemasar dan bukan pengguna. Ini bermakna ia adalah menurut perseptif pengeluar semata-mata lantaran itu bagi melengkapi model tersebut Zeithaml, Bitner dan Gremler telah menambah tiga elemen yang lain ke dalam model tersebut yang dikenali sebagai Model 7P. Selain 4P, elemen model tersebut terdiri daripada Pihak terlibat (People), Proses (Process) dan Bukti Fizikal (Physical Evidence).

            Terdapat juga Model 11P dalam strategi pemasaran yang dipelopori oleh Philip Kotler. Elemen yang terdapat dalam model tersebut selain 4P ialah Kuasa (Power), Public Relation), Penyelidikan (Probe), Segmentasi (Partition), Kedudukan (Position), Keutamaan (Priorition) dan Pihak terlibat (People).

Aktiviti pelancongan di Sabah memiliki pelbagai potensi alam semula jadi. Eko-pelancongan menjadi suatu tarikan utama terutama di sekitar kepulauan yang ada di Semporna. Menurut C.Cooper (1996), terdapat tren ke arah pelancongan yang berasakan kepada alam semula jadi, kawasan semula jadi dan berkisarkan pemuliharaan. Lokasi pilihan ekopelancongan yang utama di Semporna ialah Pulau Sipadan, Mabul, Kapalai dan beberapa lagi pulau yang popular. Lantaran itu, pemasaran dalam bidang pelancongan memainkan peranan yang penting untuk mempromosikan pelancongan berasaskan semula jadi ini.

i)                    Produk
           Aplikasi strategi pemasaran 11P di Semporna akan mampu menjelaskan setiap peranan pihak yang terlibat dalam industri pelancongan. Dalam pelancongan, komponen produk melibatkan pemilihan dan bagaiman cara untuk mengembangkan barang dan perkhidmatan yang betul. Sebagai penawar dalam ekonomi, produk pelancongan merujuk kepada barang dan perkhidmatan yang nampak (tangible) dalam bentuk pertukaran. Perlu diingat bahawa aspek produk bukan sahaja merujuk kepada perkhidmatan yang ditawarkan malah turut melihat dari segi pengalaman pelancong. Tawaran aktiviti eko pelancongan di Semporna sangat menarik dan pastinya memiliki keunikan yang tersendiri seperti aktiviti menyelam scuba, menyelam, menyusur pulau-pulau, lawatan ke tapak arkeologi, aktiviti memancing, acara regatta lepa, percutian bulan madu dan merupakan syurga makanan laut.

Tarikan Destinasi
Aktiviti
Menyelam scuba
-          Aktiviti menyelam scuba di Pulau Sipadan merupakan antara yang terbaik.
-          Melihat hidupan laut yang unik dan pelbagai seperti terumbu karang, penyu dan berbagai jenis ikan.
-          Boleh didapati dalam pakej-pakej pelancongan seperti pelancongan menyelam ke Pulau Mataking untuk 3 hari 2 malam, Billabong Scuba Mabul Homestay serta pelbagai pakej pelancongan yang lain.

-          Beberapa lokasi yang menarik adalah seperti Eel Garden,Ray Point,Panglima Reef,Lobster Wall,Nudibranch Centre,Crocodile Avenue dan juga Coral Reef Garden.
Menyusur pulau-pulau
-          Aktiviti menyusuri pulau-pulau disekitar Semporna seperti Sipadan, Mabul, Kapalai, Bum-Bum dan sebagainya dengan menggunakan bot yang disediakan
-          Melihat keunikan pulau-pulau.
Berkelah di pantai
-          Pelancong boleh berkelah di tepi pantai sambil menikmati keindahan pasir yang putih sambil berjemur di bawah sinaran matahari.
Tapak arkeologi
-          Bukit Tengkorak yang terletak di Pulau Tampi-Tampi
-          Merupakan sebuah tapak arkeologi yang terpenting di Malaysia dan Asia Tenggara hasil dari peyelidikan arkeologi yang menunjukkan Bukit Tengkorak adalah salah satu tapak pembuatan tembikar tanah yang terbesar sekali di Asia Tenggara pada zaman Neolitik.
Aktiviti memancing
-          Berpeluang merasai pengalaman memancing bersama nelayan di sekitar pulau perairan Semporna.
-          Antara pulau yang sentiasa menjadi tumpuan pemancing ialah Pulau Siamil dan Pulau Manampilik
Regatta Lepa
-          Merupakan acara tahunan yang diadakan setiap tahun pada bulan April. Acara melayarkan bot layar kecil ini berasal daripada masyarakat Bajau yang menjadi nelayan di perkampungan nelayan di Semporna dan sekitarnya.
-          Mempamerkan seni budaya masyarakat Bajau yang masih di amalkan iaitu dari segi tarian igal-igal , pakaian dan bahasa.
-          Pertandingan utama adalah merebut gelaran 'Lepa Tercantik'.
Berbulan madu
-          Pulau-pulau di Semporna masih lagi terpelihara keindahannya yang pasti mempesonakan sesiapa sahaja dan amat sesuai kepada mereka yang menginginkan pengalaman melancong yang romantis.
-          Ditawarkan bersama-sama pakej pelancongan di Pulau Mabul, Sipadan dan Kapalai.
-          Terdapat beberapa pilihan untuk tinggal di resort seperti Mabul Water Bungalow,Sipadan Mabul Resort,Sipadan Water Village, Borneo Divers Mabul Resort.
Makanan laut
-          Sememangnya Semporna menawarkan pelbagai jenis makanan laut yang esotik seperti siput kahanga, sup payau, dan sebagainya seperti di Restoran Tampi-Tampi.


ii)                  Harga
Umumnya, menjadi fahaman bahawa harga melambangkan kualiti produk namun dalam realiti pemasaran fakta tersebut tidak semestinya betul untuk dijadikan asas perletakan harga yang strategik kerana aspek kepuasan atas harga yang ditawarkan akan mempengaruhi pengalaman pelancong dari segi jangkaan dan persepsi. Strategi penetapan harga menjadi penting di atas kesedaran pemasar bahawa faktor harga berperanan dalam mempengaruhi pelancong untuk mendapatkan sesuatu pakej pelancongan. Dalam aspek harga ini, pakej pelancongan yang ditawarkan merupakan antara faktor kepada kunjungan para pelancongan dalam dan luar negara. Pakej pelancongan kebiasaannya ditawarkan untuk dua hari tiga malam yang terdiri daripada pelbagai jenis aktiviti sukan air. Pakej tersebut juga bergantung kepada resort atau chalet. Contoh pakej pelancongan yang di laman web yang menawarkan pelbagai jenis pakej:

Tempat
Harga
Sipadan Water Village  Resort, Pulau Sipadan
RM1320 Seorang
Reef Dive Resort, Pulau Mataking
RM1260 seorang
Sipadan-Mabul Resort
RM1917 seorang
                                                                                    Sumber: *Laman Web Pulau Sipadan

iii)                Tempat
Strategi penempatan memberi penekanan kepada aspek saluran pengedaran produk yang berfungsi menyampaikan produk kepada pelancong sasaran. Ianya melibatkan aktiviti perkhidmatan seperti transaksi, inventori, lojistik dan kelengkapan fasiliti. Di samping itu, strategi ini juga perlu mengambilkira faktor liputan pengedaran dan kebolehan kakitangan serta tahap perkhidmatan mereka. Menawarkan produk yang betul, di tempat/lokasi yang betul dan pada masa yang betul, adalah tujuan kepada strategi ini. Kesemua ini sangat bergantung kepada keberkesanan saluran-saluran  pengedaran yang ditetapkan. Bagaimana produk ditempatkan di kalangan pengguna, begitu jugalah penerimaan mereka. dalam konteks pelancongan di Semporna, tentunya ia merupakan lokasi ekopelancongan yang strategi dan menguntungkan. Aktiviti ekopelancongan yang ditawarkan adalah pelbagai kerana lokasi pulau-pulau di Semporna terletak berdekatan antara satu sama lain seperti Pulau Sipadan yang hanya terletak bersebelahan dengan Pulau Mabul. Industri pelancongan perlu bijak mengatur strategi pemasaran kerana kedatangan pelancong adalah di sebabkan oleh tempat pelancongan yang menjadi tarikan. Soal jangkaan dan persepsi pelancong harus dititikberatkan. Lantaran itu, Semporna merupakan sebuah destinasi pelancong yang mampu menawarkan kepuasan dan pengalaman yang menarik kepada pelancong.

iv)                Promosi
Walaupun terdapat anggapan bahawa produk yang berkualiti akan terjual dengan sendirinya. Namun, dalam strategi mempromosi, pemasar melaksanakan aktiviti memperkenalkan produk yang hendak ditawarkan kepada pengguna. Dalam usaha tersebut berbagai kaedah promosi perlu dilaksanakan agar pengguna mengetahui, memahami dan seterusnya membuat keputusan untuk menggunakan produk.  Tanpa aktiviti promosi, pemasaran produk yang berkualiti sekalipun tidak menjadi aktif dan industri sukar memperoleh tahap kompetitif yang dikehendaki di pasaran. Untuk menarik pengguna membeli produk bukannya tugas yang mudah. Mereka perlu dipengaruhi, bukan setakat di perkenal sahaja. Mereka perlu diberi kesedaran hingga mereka merasa perlu untuk mendapatkan produk yang ditawarkan.
              Pengiklanan melalui media massa utama, antara kaedah mempromosi yang termahal, menjadi pilihan industri yang berkemampuan. Walaupun tahap keberkesanannya agak sukar diukur, tetapi yang lebih penting di sini adalah faktor penyebaran maklumat produk yang meluas. Di samping pengiklanan, kaedah promosi yang lain-lain boleh digunakan, sama ada serentak mahupun berasingan, bersesuaian dengan objektif pemasaran serta faktor-faktor seperti kos, peluang dan kebolehan berinteraksi yang lebih terbuka dengan pelancong selaku pelanggan.
             Aktiviti promosi pelancongan giat dijalanakan sejak dahulu lagi. Dalam koridor pembangunan Sabah, aspek pelancongan menjadi agenda yang penting ke arah mencapai taraf negeri yang maju dengan wawasan untuk menjadikan negeri Sabah sebagai tempat kediaman yang selesa dan paling diidamkan di Asia menjelang 2025. Umumnya promosi boleh dibahagikan kepada dua bentuk iaitu melalui media cetak dan media elektronik. Promosi media cetak adalah melalui pengedaran brosur-brosur dan pamplet penawaran perkhidmatan seperti pakej pelancongan dan aktiviti sukan air. Namun, dari segi media elektronik pula adalah menerusi laman web rasmi Sabah dan Daerah Semporna. Laman web tersebut mempromisikan Pulau-pulau di Semporna secara menarik dengan paparan imej yang sungguh unik dan menggambarkan suasana sebenar aktviti yang di tawarkan. Maka, ini secara tidak langsung akan memberi suatu kelebihan dari segi penciptaan jangkaan dan persepsi yang positif kepada para pelancong. Selain itu, laman web seperti Visit Malaysia 2014 turut mempromosikan Semporna dari segi sukan selam, makanan dan acara tahunan Regata Lepa.
                Selain itu, blog-blog yang menawarkan pakej pelancong juga menjadi medium mempromosikan Semporna. Dari segi promosi secara tak langsung pula adalah melalui kunjungan ke blog-blog pengalaman individu yang pernah berkunjung ke Semporna. Pada masa kini, sebelum melancong ke mana-mana, individu gemar melakukan tinjauan  secara alam maya ke destinasi pelancongan bagi mendapatkan gambaran sebenar berdasarkan pengalaman orang lain. Aktiviti promosi sememangnya menjadi elemen yang amat penting agar produk yang ingin ditawarkan dapat dipromosikan menerusi saluran yang betul.

v)                  Proses
Aspek proses pula merujuk kepada aliran kerja termasuk arahan dan prosedur yang bertepatan bagi setiap aktiviti yang akan menentukan keberkesanan dan kejayaan pemasaran. Proses merupkan kepada penyampaian perkhidmatan dan pengurusan atau prosedur sebenar, mekanisme dan perjalanan sesuatu aktiviti yang memerlukan kelancaran sepanjang ia di jalankan (Zeithaml, bBitner & Gremler, 2006). Ianya juga adalah inisiatif yang strategik sesebuah industri untuk memasukkan unsur ‘process’ ini ke dalam strategi pemasarannya. Melibatkan urusan pentadbiran, latihan, perancangan, pengambilan dan penyampaian perkhidmatan, ia juga penting agar proses pelancongan yang dirancang berjalan dengan lancar.

vi)                Bukti Fizikal
Bukti fizikal adalah gambaran persekitaran dan ditentukan oleh pihak penawar. Ia juga aspek ketara berkaitan dengan kualiti, lokasi dan perbezaan antara produk pelancongan yang lain.
Foto 1.1 Kepelbagaian dan keunikan Pulau-pulau popular di Semporna

vii)              Pihak Terlibat

Pihak terlibat merupakan pihak yang telibat secara langsung atau tidak langsung dalam pelancongan yang terdiri daripada pihak kerajaan, masyarakat dan industri pelancongan sendiri. Setiap pihak mempunyai peranan masing-masing dalam mengetengahkan potensi produk pelancongan.



a)      Peranan governan
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan merancang untuk mempromosikan 'Pelancongan Dalam Asean' pada tahun hadapan selaras dengan pelantikan Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2015.Selain itu, salah satu organisasi kerajaan yang berperanan dalam pelancongan ialah Kementerian Kementerian Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar. Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar ini memerlukan kerjasama dan input berterusan daripada semua pihak yang terlibat dalam industri pelancongan untuk membolehkan kementerian menggubal atau mengubah strategi mengikut keperluan semasa. Ini perlu untuk membolehkan kementerian mengawasi dan meningkatkan taraf pelancongan negeri agar produk dan perkhidmatan yang ditawarkan menepati piawaian atau kehendak pelancong. Melaksanakan promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 dengan lebih mantap agar lebih berkesan. Kerjasama semua pihak, terutama sekali sektor swasta sebagai pengerak dalam pembangunan pelancongan amat penting untuk memastikan pembangunan dan hala tuju sektor ini dapat dicapai serta membolehkan kerajaan amnya dan kementerian khasnya melaksanakan tugas dan peranannya dengan lebih efektif. Penting bagi memastikan sektor pelancongan negeri mampu berkembang dan berdaya saing. Dengan itu, penubuhan Majlis Perun-dingan Pelancongan Negeri (MPPN) dapat  mewujudkan satu saluran perhubungan atas prinsip perundingan di antara stakeholder  industri pelancongan iaitu pihak kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan. MPPN juga akan menjadi saluran untuk kerajaan mendapatkan pandangan daripada orang awam yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam sektor pelancongan bagi merancang strategi serta mengenalpasti potensi pelaburan dalam sektor ini untuk memantapkan lagi pembangunan pelancongan di Sabah. Selain itu, fungsi MPPN merangkumi semua aspek di bawah industri pelancongan seperti pelaburan, kemudahan, infrastruktur dan perkhidmatan. Peranan pihak kerajaan amat penting untk memastikan sektor pelancongan terus menjadi penyumbang ketiga selepas pertanian dan pembuatan (Koridor Pembangunan Sabah).

b      Peranan masyarakat.
Dalam konteks kajian ini, masyarakat merujuk kepada komuniti utama yang tinggal di Semporna dengan mempunyai peranan sama ada terlibat secara langsung atau tidak. Segala perancangan pembangunan pelancongan seharusnya pihak komuniti menerima limpahan positif dari segi ekonomi terutamanya. Di Semporna majoriti penduduknya terdiri daripada orang Bajau dan Suluk yang rata-ratanya masih lagi tidak mempunyai pendidikan sempurna bekerja sebagai nelayan untuk menyara hidup. Komuniti pesisir laut ini masih lagi mengekalkan cara hidup yang tradisional.

              Dari perspektif positif, tentunya komuniti ini mempunyai peranan tidak langsung iaitu dari segi pengekalan nilai-nilai budaya dan adat resam dapat dijadikan sebagai suatu tarikan pelancong budaya. Hal ini demikian, selain menerima tempias pelancongan dari sudut ekonomi, para pelancong dapat melihat sendiri cara hidup komuniti ini seperi makanan tradisi, pertuturan, pakaian tradisi dan tarian igal-igal. Malah tarian igal- igal ini telah dijadikan salah satu produk tarikan pelancong iaitu acara Regatta Lepa yang di adakan pada bulan April setiap tahun.  Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa pelancongan itu tidak seharusnya bergantung kepada industri dan governan tetapi juga peranan komuniti sebagai suatu elemen budaya pelancongan yang tersendiri.

c     Industri Pelancongan
Dari segi industri pelancongan pula, kualiti perkhidmatan yang ditawarkan amat penting. Ini penting untuk memastikan Semporna sebagai destinasi pelancongan berasaskan semula jadi terus menjadi pilihan pelanconga antarabangsa. Lantaran itu dari segi penawaran perkhidmatan, cita rasa pelancong antarabangsa harus dititkberatkan sebagai sasaran dalam pelancongan. Perkhidmatan dari segi layanan oleh pekerja perlu di pertingkatkan dari masa ke semasa. Pekerja perlulah memiliki pengetahuan yang diperlukan pelancong, dari segi pemakaian dan pertuturan pula haruslah melambangkan budaya Malaysia itu sendiri, mendapat latihan profesional bagi meningkatkan kecekapan kerja dan yang pealing penting memiliki kemampuan untuk bertutur dalam bahasa asing. Industri pelancongan tidak semata-mata penawaran dari segi perkhidmatan yang nampak tetapi juga perlu menitikberatkan tentang peranan pekerja bawahan yang menentukan kualiti perkhidmatan pelancongan yang diberikan.




Rumusan
Secara kesimpulannya, pelancongan di Semporna memiliki potensi yang cukup besar dalam ekonomi negara khasnya. Eko pelancongan bukan sahaja berkelebihan dari segi penawaran alam semula jadi tetapi juga pemeliharaan dan pemuliharaan yang hidupan marin di Semporna. Justru, pemasaran pelancongan itu melibatkan penawaran produk dan perkhidmatan. Bagi kawasan kajian sendiri, Semporna diiktiraf sebagai pusat pelancongan yang mampu meraih pelancong dalam dan luar negara. Produk ekopelacongan yang mendapat sambutan adalah aktiviti menyelam scuba. Faktor tarikan pulau-pulau di Semporna adlah di sebabkan adanya aktiviti menyelam scuba yang enjadi tarikan utama pelancongan terutama pelancong luar. Hal ini demikian kerana mereke gemar melihat khazanah laut yang indah di dasar laut yang mempunyi pelbagai keunikan tersendiri. 

             Menurut Shanti (2002), Mabul dan Sipadan telah meletakkan Malaysia sebagai detinasi menyelam scuba setaraf dengan destinasi yang terdapat di Laut Merah, Laut Mideterranian, Maldives, Papua New Guines dan Laut Caribbean. Penawaran produk yang berkualiti sebegini akan memberi kepuasan kepada para pelancong. Hal ini demikian kerana dalam Diving Magazine (1996) sendiri melaporkan bahawa pinggir laut Mabul yang landai sehingga 30 meter menjadi habitat flora dan fauna yang unik dan esotik. Malah ada spesis yang sebelum ini jarang ditemui ditempat lain namun ditemui di tempat ini. Produk eko pelancongan yang pelbagai dan bersifat berbeza antara tempat pelancongan yang menarik menyebabkan pulau-pulau di Semporna tidak rugi untuk dikunjungi.

              Pemasaran pelancongan juga melibatkan aspek nampak(tangible) dan tak nampak (intangible). Aspek intangible merujuk kepada elemen fizikal yang ditawarkan oleh industri yakni dari segi tarikan destinasi, kemudahn dan infrastruktur, ketersampaian, imej dan harga. Semua elemen ini telah dan sedang dipertingkatkan dari masa ke semasa agar setaraf dengan cita rasa pelancong antarabangsa khususnya. Dari aspek tak nampak pula, pelancongan di Semporna masih lagi berlatar belakang masyarakat tradisional pesisir pantai. Ciri-ciri budaya yang diperlihatkan oleh suku kaum Bajau dan Suluk menjadi suatu kelebihan kepada pelancong yang tidak pernah merasai pengalaman budaya ini. Secara tidak langsung ia telah dijadikan sebagai suatu aktiviti pelancongan yang menarik kerana majoriti pelancong asing yang datang adalah dari negara Jermna, Perancis, Itali, Sepanyol, Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan. Aktiviti pelancongan yang boleh dijadikan tarikan adalah seperti melintas kampung-kampung di sekitar pulau-pulau berdekatan, melihat cara hidup mereka yang secara umunya masih lagi hidup dalam kemiskinan dan kedaifan jika dilihat dari segi fizikal perumahan dan sanitasi mereka. Namun komuniti ini masih lagi hidup dengan gembira dan harmoni.

               Dari aspek tak nampak yang lain pula, perkhidmatan layanan yang diberikan turut memainkan peranan yang penting kepada pelancong. Ia penting untuk mencipta suatu pengalaman melancong yang berharga. Industri perlu memahami istilah jangkaan dan persepsi pelancong kerana ia akan memberi kesan dari segi pengalaman contoh kepada  pelancong yang lain. Ini bermakna, sekiranya kualiti perkhidmatan yang diberikan adalah terbaik maka tentunya pelancong lain akan turut berpusu-pusu datang ke Semporna.

                Selain itu, aspek pihak yang terlibat juga akan menentukan kejayaan strategi pelancongan di sesebuah destinasi pelancongan. Pihak yang dimaksudkan ialah governan, industri dan komuniti tempatan. Umumnya, peranan governan dalam sektor pelacongan di Sabah amat penting. Kerajaan komited ke arah memasarkan Sabah sebagai destinasi percutian kediaman yang eksklusif. Semporna yang masih mengekal keaslian dan keindahan semula jadi alam sekitarnya berbeza dengan pulau-pulau seperti Bali dan Phuket kerana pulau-pulau ini telah di cemari oleh pembangunan berlebihan, pembinaan beribu-ribu vila percutian sejak beberapa dekad kebelakangan ini (Koridor Pembangunan Sabah).

                 Manakala dari aspek industri pula, perkara yang perlu dipertingkatkan ialah pengambilan tenaga kerja yang mahir dan mencukupi bagi hotel dan kemudahan yang berkaitan terutama pada peringkat pengurusan pertengahan dan tinggi, pemandu pelancong/pakar alam semula jadi yang mahir dan kemahiran berbahasa. Hal ini demikian kerana, perkhidmatan yang memberi kesan kepada pelancong adalah tarikan destinasi, pengangkutan awam, penginapan, saluran M&M , runcit dan hiburan serta pengendalian pelancongan. Dari sudut komuniti pula, langkah menggalakkan penyertaan luar bandar melalui pelancongan berasaskan komuniti amat sesuai dengan iklim ekonomi di Semporna yang berasaskan perikanan. Pelancongan berasaskan komunit bertujuan agar masyarakat luar bandar juga dapat menikmati hasil yang diraih daripada sektor ini.

               Pemasaran pelancongan juga perlulah menitikberatkan kehendak pasaran. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, wujud tren ke arah pelancongan yang ekskludif dengan memfokuskan alam semula jadi dan berkisarkan pemuliharaan. Malah berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen (2008) majoriti pelancong yang berkunjung ke Sabah lebih ramai daripada luar negara iaitu seramai 2,478,443. Kedatangan mereka dalah satunya didasari oleh produk eko pelancongan yang bertaraf anarabangsa di Semporna.

               Kesimpulannya, pemasaran pelancong yang berkesan melibatkan produk dan perkhidmatan, aspek ketara dan tak ketara, pihak yang terlibat dan haruslah berorientasikan pasaran yang perlu dilaksanakan secara bersepadu dan konsisten dari masa ke semasa.

Rujukan
Cathy Hsu et.al. 2008. Tourism Marketing: An Asia Pasific Perspective. John Wiley & Sons Australia Ltd. Australia.
David Weaver. 2008. Ecotourism. Edisi Kedua. John Wiley & Sons Australia Ltd. Australia.
Drs Oka A.Yoeti. 1988. Pemasaran Pelancongan. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.