Laporan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada
tahun lalu mengatakan bahawa kira-kira 30 000 manusia terkorban daripada 206
juta orang yang terkena dampak bencana alam di seluruh dunia. Melihat kepada
laporan ini dapatlah kita simpulkan bahawa saban tahun kematian manusia
sebahagian besarnya berpunca daripada bencana yang tidak dapat dielakkan selain
faktor peperangan, kebuluran dan pelbagai jenis penyakit merbahaya. Salah satu
peristiwa bencana alam pada tahun 2011 yang menyumbang kepada kematian yang
paling banyak ialah gempa bumi dan tsunami yang menghentam Fukushima di Jepun.
Gempa yang disusuli tsunami ini telah meragut lebih daripada 15 000 ribu nyawa
dan mengalami kerugian hampir $31 juta dolar. Dalam tahun yang sama, Malaysia
turut dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh di rumah Persatuan Anak-Anak
Yatim di batu 14, Hulu Langat ,Kajang. Tanah runtuh yang berlaku pada 21 Mei
itu telah mengorbankan 16 orang anak yatim. Semua
kejadian bencana alam ini sebenarnya disebabkan oleh beberapa faktor iaitu
faktor yang berkaitan dengan manusia sendiri dan alam sekitar.
Sekiranya kita ingin mengkaji kejadian bencana alam ini
dengan lebih dekat maka kita perlu berbalik kepada punca berlakunya bencana
alam. Sama ada kita sedar atau tidak kejadian bencana alam sangat sensitif
terhadap sebarang perubahan sama dari segi fizikal atau dalaman bumi. Perubahan
yang berpunca daripada aktiviti manusia atau secara semula jadi boleh memberi
kesan kepada alam dan seterusnya mendorong berlakunya malapetaka alam. Salah
satu faktor yang kita boleh lihat secara jelas ialah pembangunan yang pesat
terutama di kawasan yang berisiko seperti di lereng bukit dan tanah lembut.
Pembangunan fizikal bagi tujuan pembinaan tapak industri, bangunan pencakar
langit, kawasan petempatan dan sebagainya tidak dirancang dengan sebaiknya
malah pemaju tidak memikirkan kesannya terhadap persekitaran dalam jangka masa
panjang. Maka, ketidakprihatinan ini akan menyebabkan sistem ekologi yang asal
tdak mampu untuk menghalang sebarang kejadian bencana berlaku kerana
pembangunan tersebut telah memusnahkan kawasan hijau yang menjadi pelindung
kepada permukaan bumi terhadap sebarang proses luluhawa. Proses ini sebenarnya
boleh melemahkan struktur dalaman tanah. Apabila ini berlaku maka sebarang
perubahan drastik terhadap permukaan bumi akan menyebabkan berlakunya bencana
seperti tanah runruh, banjir kilat, runtuhan bangunan secara tiba-tiba dan
sebagainya. Justru, pembangunan harus dikawal atau dilakukan dengan berhati-hati
supaya tidak menjejaskan sistem ekologi secara mendadak.
Selain itu, punca lain yang menyebabkan terjadinya
bencana alam ialah perubahan iklim global yang berlaku hampir setiap tahun. Faktor
perubahan iklim ini kadangkala kita tidak ambil peduli tetapi kesan daripada
fenomena tersebut yang lebih menarik perhatian kita. Perubahan iklim global yang berlaku adalah kesan
peningkatan mendadak gas rumah hijau di atmosfera yang disebabkan oleh
kepesatan dalam industri perkilangan, pembalakan, pertanian, pengangkutan dan
industri lain di dunia tanpa adanya keseimbangan dengan alam sekitar. Ini
seterusnya telah menyumbang kepada pertambahan gas-gas tersebut dan secara
langsung meningkatkan suhu bumi. Peningkatan suhu secara global akan mencairkan
litupan ais dan salji dikawasan artik. Maka apabila ini berlaku ,paras air laut
turut akan meningkat seterusnya akan memberikan impak yang dahsyat kepada
masyarakat dunia seperti kejadian banjir besar yang berlaku di negara
kepulauan, misalnya Fiji dan Maldives. Kejadian banjir besar yang berlaku bukan
sahaja merosakkan harta benda bahkan bakal meragut nyawa manusia selain
melumpuhkan aktiviti ekonomi dan sosial sesebuah negara. Maka, kerancakan
aktiviti manusia yang boleh memburukkan lagi situasi seharusnya diselia dan
dirancang dengan teliti terutama di negara-negara industri.
Sikap manusia yang sambil lewa terhadap persekitaran turut
menyumbang kepada bencana alam. Kini, majoriti penduduk di negara kita mampu memiliki kenderaaan sendiri. Mereka
juga leih selesa untuk berulang-alik ke tempat kerja dengan menggunakan kenderaan
sendiri berbanding dengan kenderaan awam. Bukan itu sahaja, di sesetengah kawasan,terdapat
penduduknya yang gemar melakukan pembakaran terbuka. Kedua-dua perkara ini
sebenarnya telah mendorong kepada penghasilan asap. Hal ini nampaknya remeh, kerana yang kelihatan hanyalah
asap, namun asap inilah sebenarnya yang menyebabkan kejadian jerebu sehingga menyulitkan
kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Impak jerebu ini boleh menyebabkan
pesakit asma mengalami masalah dan mereka yang mempunyai penyakit sedia ada
pula menjadi semakin kronik. Oleh itu, kita seharusnya sedar dan berhati-hati
semasa melakukan sesuatu perkara ibarat pandang jauh dilayangkan, pandang dekat ditukikkan
supaya tidak berlaku sebarang bencana. Hal ini secara tidak langsung dapat
membantu kita untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar dan sekaligus membantu
menyelamatkan nyawa yang tidak berdosa.
Punca lain yang menyumbang kepada berlakunya bencana alam
adalah disebabkan oleh aktiviti manusia yang menggunakan sumber alam secara
rakus tanpa kawalan. Pelepasan gas karbon dioksida oleh 600 juta kenderaan di
seluruh dunia dan penerokaan hutan secara berleluasa menyumbang kepada
berlakunya penipisan lapisan ozon, pemanasan global dan seterusnya mendorong
kepada kejadian pelbagai bencana akibat berlakunya perubahan iklim seperti
peningkatan suhu harian dan kesejukan melampau berlaku dikebanyakan tempat di
dunia. Fenomena taufan dan banjir besar berlaku secara tidak dijangka. Walaupun
terdapat sistem maklumat geografi dan telekomunikasi yang serba canggih di
dunia, ia belum dapat meramal dengan tepat tentang kejadian sesuatu bencana
yang bakal berlaku. Bencana gempa bumi yang berlaku disesetengah kawasan pula
amat sukar diramal tentang bila dan dimana ia akan berlaku. Kawasan yang tidak
pernah mengalami gempa turut menerima kesan gegaran yang menimbulkan
kebimbangan kepada masyarakat. Bagi mereka yang telah ditimpa bencana pula kos
untuk membangunkan semula kawasan yang dilanda bencana amat tinggi. Maka
jelaslah bahawa bencana alam membawa malapetaka kepada mangsa dan isu ini perlu
dikaji dengan lebih mendalam agar dapat mengelakkan sebarang impak yang lebih
serius.
Aktiviti
pembalakan memang merupakan antara penyumbang ekonomi negara, namun antara
sedar ataupun tidak, aktiviti ini menjadi faktor berlakunya bencana alam. Pihak
yang terbabit dalam penebangan hutan selalunya hanya mementingkan keuntungan
semata-mata tanpa memikirkan inpaknya terhadap persekitaran ekologi ,mungkin
golongan yang bersifat nafsi ini tidak mengetahui bahawa dalam sistem ekologi
itu manusia adalah organisma utama. Maka sebarang perubahan dalam ekosistem
hutan pasti akan memberi kesan terhadap manusia. Kawasan hutan yang telah
ditebang jika tidak digantikan dengan anak pokok yang baharu, biasanya akan
terdedah kepada hujan dan menyebabkan hakisan tanah berlaku. Keadaan ini akan
menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh yang akan meragut nyawa dan
menyebabkan kerosakan harta benda. Oleh itu, sebarang aktiviti ekonomi yang
memusnahkan hutan secara meluas dan tidak terkawal perlulah diambil tindakan
yang drastik terhadap pihak yang bertanggungjawab terhadap kemusnahan tersebut
agar dapat menjamin kehidupan yang sejahtera terutama untuk generasi yang akan
datang.
Selain itu, bencana alam turut disebabkan oleh aktiviti semula jadi yang berlaku di perut bumi sendiri. Misalnya bencana
alam seperti tsunami yang kerap terjadi setiap tahun terutama di
kawasan Lingkaran Api Pasifik seperti di Indonesia , Jepun dan Filipina. Jika kita kaji secara saintifiknya, tsunami
,gempa bumi dan segala bentuk gegaran yang berlaku adalah disebabkan oleh pergeseran
antara dua plat tektonik yang bergerak secara tiba-tiba. P\lat tektonik ini
bergerak di antara satu sama lain, kemudian berlanggar sesama sendiri maka
terhasilah gempa bumi dasar laut.
Contohnya gempa bumi yang melanda di Lautan Hindi. Susulan daripada gempa bumi ini ,maka tsunami pula akan
terbentuk disebabkan oleh gegaran yang wujud akibat gempa tersebut. Hal
ini merupakan antara bencana alam yang paling ditakuti lantaran kedatangannya
adalah secara tiba-tiba dan mampu meranapkan seluruh kawasan yang dilaluinya,
ini terbukti dengan kejadian Tsunami Acheh yang berlaku pada 26 Disember 2004. Kejadian tersebut telah merencatkan
terus segala aktiviti penduduk Acheh.
Kesimpulannya, bencana alam memberi satu mimpi dan pengalaman
yang buruk sama ada kepada rakyat mahupun
kepada institusi
negara itu sendiri sehingga pihak kerajaan terpaksa mengisytiharkan darurat ke
atas negara. Bencana alam kadangkala datang tanpa diundang dan untuk itu kita perlu
sentiasa berwaspada terhadap sebarang bentuk perubahan yang boleh membawa
kepada kemusnahan petempatan, kehilangan nyawa dan sebagainya. Walau bagaimanapun, kejadian bencana alam
juga sebenarnya turut berpunca daripada kegiatan manusia itu sendiri. Oleh itu,
kita sendiri sebagai manusia perlulah mengubah sikap yang boleh menyebabkan
berlakunya bencana alam. Segala bentuk langkah
berjaga-jaga perlulah diambil dan dilaksanakan dengan lebih awal sebelum
kedatangan bencana agar kita dapat mengelakkan kesan yang lebih buruk lagi.