Khamis, 10 Januari 2013

Faktor-Faktor Bencana Alam


                  Laporan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun lalu mengatakan bahawa kira-kira 30 000 manusia terkorban daripada 206 juta orang yang terkena dampak bencana alam di seluruh dunia. Melihat kepada laporan ini dapatlah kita simpulkan bahawa saban tahun kematian manusia sebahagian besarnya berpunca daripada bencana yang tidak dapat dielakkan selain faktor peperangan, kebuluran dan pelbagai jenis penyakit merbahaya. Salah satu peristiwa bencana alam pada tahun 2011 yang menyumbang kepada kematian yang paling banyak ialah gempa bumi dan tsunami yang menghentam Fukushima di Jepun. Gempa yang disusuli tsunami ini telah meragut lebih daripada 15 000 ribu nyawa dan mengalami kerugian hampir $31 juta dolar. Dalam tahun yang sama, Malaysia turut dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh di rumah Persatuan Anak-Anak Yatim di batu 14, Hulu Langat ,Kajang. Tanah runtuh yang berlaku pada 21 Mei itu telah mengorbankan 16 orang anak yatim. Semua kejadian bencana alam ini sebenarnya disebabkan oleh beberapa faktor iaitu faktor yang berkaitan dengan manusia sendiri dan alam sekitar.

Sekiranya kita ingin mengkaji kejadian bencana alam ini dengan lebih dekat maka kita perlu berbalik kepada punca berlakunya bencana alam. Sama ada kita sedar atau tidak kejadian bencana alam sangat sensitif terhadap sebarang perubahan sama dari segi fizikal atau dalaman bumi. Perubahan yang berpunca daripada aktiviti manusia atau secara semula jadi boleh memberi kesan kepada alam dan seterusnya mendorong berlakunya malapetaka alam. Salah satu faktor yang kita boleh lihat secara jelas ialah pembangunan yang pesat terutama di kawasan yang berisiko seperti di lereng bukit dan tanah lembut. Pembangunan fizikal bagi tujuan pembinaan tapak industri, bangunan pencakar langit, kawasan petempatan dan sebagainya tidak dirancang dengan sebaiknya malah pemaju tidak memikirkan kesannya terhadap persekitaran dalam jangka masa panjang. Maka, ketidakprihatinan ini akan menyebabkan sistem ekologi yang asal tdak mampu untuk menghalang sebarang kejadian bencana berlaku kerana pembangunan tersebut telah memusnahkan kawasan hijau yang menjadi pelindung kepada permukaan bumi terhadap sebarang proses luluhawa. Proses ini sebenarnya boleh melemahkan struktur dalaman tanah. Apabila ini berlaku maka sebarang perubahan drastik terhadap permukaan bumi akan menyebabkan berlakunya bencana seperti tanah runruh, banjir kilat, runtuhan bangunan secara tiba-tiba dan sebagainya. Justru, pembangunan harus dikawal atau dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak menjejaskan sistem ekologi secara mendadak.

Selain itu, punca lain yang menyebabkan terjadinya bencana alam ialah perubahan iklim global yang berlaku hampir setiap tahun. Faktor perubahan iklim ini kadangkala kita tidak ambil peduli tetapi kesan daripada fenomena tersebut yang lebih menarik perhatian kita. Perubahan iklim global yang berlaku adalah kesan peningkatan mendadak gas rumah hijau di atmosfera yang disebabkan oleh kepesatan dalam industri perkilangan, pembalakan, pertanian, pengangkutan dan industri lain di dunia tanpa adanya keseimbangan dengan alam sekitar. Ini seterusnya telah menyumbang kepada pertambahan gas-gas tersebut dan secara langsung meningkatkan suhu bumi. Peningkatan suhu secara global akan mencairkan litupan ais dan salji dikawasan artik. Maka apabila ini berlaku ,paras air laut turut akan meningkat seterusnya akan memberikan impak yang dahsyat kepada masyarakat dunia seperti kejadian banjir besar yang berlaku di negara kepulauan, misalnya Fiji dan Maldives. Kejadian banjir besar yang berlaku bukan sahaja merosakkan harta benda bahkan bakal meragut nyawa manusia selain melumpuhkan aktiviti ekonomi dan sosial sesebuah negara. Maka, kerancakan aktiviti manusia yang boleh memburukkan lagi situasi seharusnya diselia dan dirancang dengan teliti terutama di negara-negara industri.

Sikap manusia yang sambil lewa terhadap persekitaran turut menyumbang kepada bencana alam. Kini, majoriti penduduk di negara kita mampu memiliki kenderaaan sendiri. Mereka juga leih selesa untuk berulang-alik ke tempat kerja dengan menggunakan kenderaan sendiri berbanding dengan kenderaan awam. Bukan itu sahaja, di sesetengah kawasan,terdapat penduduknya yang gemar melakukan pembakaran terbuka. Kedua-dua perkara ini sebenarnya telah mendorong kepada penghasilan asap. Hal ini nampaknya remeh, kerana yang kelihatan hanyalah asap, namun asap inilah sebenarnya yang menyebabkan kejadian jerebu sehingga menyulitkan kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Impak jerebu ini boleh menyebabkan pesakit asma mengalami masalah dan mereka yang mempunyai penyakit sedia ada pula menjadi semakin kronik. Oleh itu, kita seharusnya sedar dan berhati-hati semasa melakukan sesuatu perkara ibarat pandang jauh dilayangkan, pandang dekat ditukikkan supaya tidak berlaku sebarang bencana. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu kita untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar dan sekaligus membantu menyelamatkan nyawa yang tidak berdosa.

Punca lain yang menyumbang kepada berlakunya bencana alam adalah disebabkan oleh aktiviti manusia yang menggunakan sumber alam secara rakus tanpa kawalan. Pelepasan gas karbon dioksida oleh 600 juta kenderaan di seluruh dunia dan penerokaan hutan secara berleluasa menyumbang kepada berlakunya penipisan lapisan ozon, pemanasan global dan seterusnya mendorong kepada kejadian pelbagai bencana akibat berlakunya perubahan iklim seperti peningkatan suhu harian dan kesejukan melampau berlaku dikebanyakan tempat di dunia. Fenomena taufan dan banjir besar berlaku secara tidak dijangka. Walaupun terdapat sistem maklumat geografi dan telekomunikasi yang serba canggih di dunia, ia belum dapat meramal dengan tepat tentang kejadian sesuatu bencana yang bakal berlaku. Bencana gempa bumi yang berlaku disesetengah kawasan pula amat sukar diramal tentang bila dan dimana ia akan berlaku. Kawasan yang tidak pernah mengalami gempa turut menerima kesan gegaran yang menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat. Bagi mereka yang telah ditimpa bencana pula kos untuk membangunkan semula kawasan yang dilanda bencana amat tinggi. Maka jelaslah bahawa bencana alam membawa malapetaka kepada mangsa dan isu ini perlu dikaji dengan lebih mendalam agar dapat mengelakkan sebarang impak yang lebih serius.

          Aktiviti pembalakan memang merupakan antara penyumbang ekonomi negara, namun antara sedar ataupun tidak, aktiviti ini menjadi faktor berlakunya bencana alam. Pihak yang terbabit dalam penebangan hutan selalunya hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan inpaknya terhadap persekitaran ekologi ,mungkin golongan yang bersifat nafsi ini tidak mengetahui bahawa dalam sistem ekologi itu manusia adalah organisma utama. Maka sebarang perubahan dalam ekosistem hutan pasti akan memberi kesan terhadap manusia. Kawasan hutan yang telah ditebang jika tidak digantikan dengan anak pokok yang baharu, biasanya akan terdedah kepada hujan dan menyebabkan hakisan tanah berlaku. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh yang akan meragut nyawa dan menyebabkan kerosakan harta benda. Oleh itu, sebarang aktiviti ekonomi yang memusnahkan hutan secara meluas dan tidak terkawal perlulah diambil tindakan yang drastik terhadap pihak yang bertanggungjawab terhadap kemusnahan tersebut agar dapat menjamin kehidupan yang sejahtera terutama untuk generasi yang akan datang.

Selain itu, bencana alam turut disebabkan oleh aktiviti semula jadi yang berlaku di perut bumi sendiri.   Misalnya bencana alam seperti tsunami  yang kerap terjadi setiap tahun terutama di kawasan Lingkaran Api Pasifik seperti di Indonesia , Jepun dan Filipina. Jika kita kaji secara saintifiknya, tsunami ,gempa bumi dan segala bentuk gegaran yang berlaku adalah disebabkan oleh pergeseran antara dua plat tektonik yang bergerak secara tiba-tiba. P\lat tektonik  ini bergerak di antara satu sama lain, kemudian berlanggar sesama sendiri maka terhasilah gempa bumi dasar laut. Contohnya gempa bumi yang melanda di Lautan Hindi. Susulan daripada gempa bumi ini ,maka tsunami pula akan terbentuk disebabkan oleh gegaran yang wujud akibat gempa tersebut.  Hal ini merupakan antara bencana alam yang paling ditakuti lantaran kedatangannya adalah secara tiba-tiba dan mampu meranapkan seluruh kawasan yang dilaluinya, ini terbukti dengan kejadian Tsunami Acheh yang berlaku pada 26 Disember 2004. Kejadian tersebut telah merencatkan terus segala aktiviti penduduk Acheh.

Kesimpulannya, bencana alam memberi satu mimpi dan pengalaman yang buruk sama ada kepada rakyat mahupun  kepada institusi negara itu sendiri sehingga pihak kerajaan terpaksa mengisytiharkan darurat ke atas negara. Bencana alam kadangkala datang tanpa diundang dan untuk itu kita perlu sentiasa berwaspada terhadap sebarang bentuk perubahan yang boleh membawa kepada kemusnahan petempatan, kehilangan nyawa dan sebagainya. Walau bagaimanapun, kejadian bencana alam juga sebenarnya turut berpunca daripada kegiatan manusia itu sendiri. Oleh itu, kita sendiri sebagai manusia perlulah mengubah sikap yang boleh menyebabkan berlakunya bencana alam. Segala bentuk langkah berjaga-jaga perlulah diambil dan dilaksanakan dengan lebih awal sebelum kedatangan bencana agar kita dapat mengelakkan kesan yang lebih buruk lagi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan