Khamis, 25 September 2014

Model Perubahan Tiga Peringkat Kurt Lewin dan Edgar Schein




 Dalam mengurus sesebuah organisasi terdapat beberapa model perubahan yang boleh diamalkan, antaranya Model Perubahan Tiga Peringkat Kurt Lewin dan Model Perubahan Tiga Peringkat Edgar Schein. Perubahan tentunya akan melibatkan sesuatu yang lama bertukar kepada yang baru. 

Secara umumnya, Model Tiga Peringkat Kurt Lewin merupakan model yang terawal sekali menyebut tentang perubahan dalam mengurus sesebuah organisasi yang menjadi asas kepada model perubahan organisasi moden. Kurt menyatakan bahawa pada peringkat pertama, seseorang itu perlu mempunyai keinginan untuk merubah situasi yang lama. Hal ini demikian kerana dengan andaian bahawa situasi yang lama itu mendatangkan kesan yang negatif atau masalah kepada individu atau sesebuah organisasi. Sebagai contohnya, penggunaan beg plastik pada masa kini adalah tidak mesra alam dan akan mengakibatkan penyakit merbahaya kepada pengguna dalam masa yang panjang. Faktor tersebut telah menyebabkan ramai pengguna ingin berubah daripada terus menggunakan beg plastik yang memakan masa yang agak lama untuk terurai. 

Pada peringkat kedua pula, Kurt percaya bahawa seseorang itu perlu berubah kepada kelakuan yang baru. Apabila sesuatu keadaan itu didapati tidak memberikan manfaat maka seseorang harus cuba untuk melakukan perilaku baharu yang dianggap akan mendatangkan kebaikan kepada diri atau sesebuah organisasi. Ini merujuk kepada nilai, sikap, struktur dan pembentukan gelagat yang berbeza berbanding sebelum ini. Misalnya, penggunaan beg kertas atau jenis kain adalah lebih baik berbanding menggunakan beg plastik. Situasi yang baharu ini dianggap merupakan jalan penyelesaian kepada situasi yang lama. 

Seterusnya peringkat yang ketiga iaitu pengekalan kelakuan di tahap baru. Apabila berlakunya perubahan dari segi nilai, perilaku, struktur dan sebagainya kepada individu atau organisasi, maka ia sepatutnya dikekalkan. Ini bermakna pengekalan gelagat baru tersebut akan menjadi sebahagian amalan terbaik daripada sebelumnya. Contohnya, penggunaan beg kertas adalah dianggap lebih baik berbanding beg plastik dan seharusnya dikekalkan pada masa akan datang kerana memberi kesan yang positif kepada persekitaran manusia dan semula jadi. 

Manakala Model Perubahan Tiga Peringkat Edgar Schein pula beliau telah memasukkan unsur psikologi dalam model beliau. 

Peringkat pertama dikenali sebagai Peringkat Perubahan iaitu peringkat membentuk motivasi dan kesediaan untuk berubah ke arah yang baru. Dalam konteks ini seseorang individu atau organisasi harus bijak mengatur stategi yang efektif ke arah perubahan, iaitu memberikan suatu dorongan atau sokongan ke atas golongan sasaran. Ini bermaksud dengan bantuan motivasi maka mereka akan tergerak untuk berubah daripada kelaziman yang dianggap tidak baik. Misalnya, seorang pengurus perlu menjadikan perubahan sebagai suatu tindakan yang perlu dilakukan untuk terus maju.

Peringkat yang kedua pula ialah peringkat Peralihan. Pada peringkat ini, agen perubahan yang terlatih diperlukan untuk memupuk nilai, sikap dan perilaku melalui proses pengenalpastian dan motivasi. Contohnya, pengurus meyakinkan bahawa sasaran syarikat untuk maju akan dapat dicapai sekiranya pekerja melakukan perubahan dalam tingkah laku, nilai, amalan dan sebagainya untuk meningkatkan kecekapan dalam  bekerja. 

Peringkat yang terakhir iaitu Pembekuan Semula iaitu mewujudkan suatu situasi yang mana perubahan yang baharu itu adalah bertepatan dan perlu dimantapkan lagi supaya ia akan menjadi suatu kelaziman. Misalnya pekerja perlu mengekalkan perilaku dan nilai yang baru untuk mewujudkan hubungan yang signifikan antara majikan, prestasi diri dan organisasi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan