Isnin, 31 Disember 2012

Mengenalpasti 5 Elemen Utama Dalam Dimensi Ruang.




 Merujuk kepada Tawau ,Sabah ,perkembangan bandar dan kawasan sekitarnya telah mencapai tahap pembangunan yang boleh dibanggakan. Terdapat lima aspek yang perlu diambil kira dalam memperjelaskan lagi perkembangan di Tawau. Aspek tersebut ialah dari segi laluan utama, pinggiran, daerah, nod dan mercu tanda.

             Laluan utama ke Tawau ialah bermula dari hentian pemeriksaan polis sebelum memasuki daerah-daerah lain. Jarak antara hentian pemeriksaan polis dengan Bandar Tawau ialah kira-kira 56 kilometer yang menjadi laluan utama kenderaan keluar masuk ke Tawau. Sebelum sampai ke pusat bandar, terdapat lampu isyarat disimpang empat betul-betul berdekatan dengan bandar Tawau yang dikenali sebagai Takada. Kebiasaannya kenderaan datang dari arah sama ada Balung, Kuhara atau Hospital. Memandangkan bandar Tawau adalah sederhana maka laluan utama kenderaan terutamanya bas hanya melalui jalan berdekatan dengan stesen bas, Sabindo Plaza dan bulatan berhadapan dengan Masjid Al-Kausar sahaja. 
              
              Uniknya Bandar Tawau adalah kerana ianya terletak betul-betul berdekatan dengan pinggir laut. Ini bermakna perkembangan bandar Tawau sebenarnya bermula daripada perkampungan nelayan yang dahulunya menjadi aktiviti utama penduduk. Pinggiran laut tersebut ialah Persiaran Traulsen atau lebih dikenali sebagai Highway oleh masyarakat sekitar dan terletak dibelakang Masjid Al-Kausar dan Perpustakaan Tawau. Persiaran  tersebut menjadi pusat rekreasi penduduk dihujung minggu.

              Manakala dari segi daerah pula, Tawau dipisahkan dengan daerah Kunak ,Semporna dan daerah lain di simpang pemeriksaan polis atau dipanggil ‘checkpoint’ oleh masyarakat setempat yang terletak di selatan. Sempadan dibahagian timur Tawau pula ialah terletak di persimpangan Pensiangan-Kalabakan dengan daerah Tawau tetapi jarak adalah sangat jauh jika dibandingkan dengan sempadan ‘checkpoint’ , malah jalan raya juga tidak semuanya berturap.
              
              Dari segi nod pula, tempat yang kerap menjadi perhentian saya di Tawau ialah sekolah saya sendiri iaitu di SMK Kinabutan yang berhadapan dengan Tokong Buddha dan Puspakom Tawau, selain itu diperhentian bas.

              Tempat yang menjadi mercu tanda dan perhatian orang ramai di Tawau ialah masjid Al-Kausar. Masjid yang kedua terbesar di Sabah ini sentiasa menjadi kunjungan. Selain itu, Pasar Tanjung Tawau juga merupakan antara mercu tanda di Tawau, sekiranya orang luar datang ke Tawau maka pasar berkenaan menjadi tarikan kerana di situ terdapat pelbagai jenis makanan laut, pakaian, hiasan ,periuk belanga dan sebagainya. Terdapat juga replika Ikan dan Ketam di bulatan utama masuk ke pusat bandar sebagai tanda bahawa Tawau mempunyai makanan laut yang murah, sedap dan mudah didapati.


                                                                   Persiaran Traulsen


Pasar Tanjung Tawau

                                                                 Belakang Perpustakaan

                                                                      Masjid Al-Kausar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan